Thursday 17 December 2015

Industri Francais Di Malaysia


PENGENALAN.

Industri francais merupakan satu industri yang berpotensi besar untuk menyumbang kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi negara. Di seluruh dunia, industri francais mencatatkan pertumbuhan positif walaupun sesetengah negara dilanda krisis ekonomi.

Francais bermaksud satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat pemberi francais (francaisor) memberi kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau syarikat pemegang francais (francaisi) untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan dalam jangkamasa tertentu dan pada lokasi yang ditentukan.

Dengan kata lain francais adalah perkongsian perniagaan di antara pemilik produk (francaisor) dan pelabur (francaisi) di mana francaisor akan menyediakan produk dan sistem perniagaan manakala francaisi akan menyediakan modal dalam bentuk dana, sumber manusia dan usaha berterusan untuk memastikan kelangsungan perniagaan (Akta francais, 1998).



SEJARAH AWAL INDUSTRI FRANCAIS

Asal-usul Francais

Francais adalah satu sistem perniagaan yang dikatakan bermula di Eropah dan dikembangkan dengan pesatnya di Amerika Syarikat lebih 100 tahun yang lalu. Perkataan francais adalah berasal daripada perkataan Perancis, franco yang bermaksud kebebasan. Pada ketika itu, seseorang francaisi adalah merupakan orang penting yang diberi hak dan kebebasan bagi sesuatu wilayah tertentu untuk memastikan pelaksanaan arahan dan peraturan, termasuk membuat penilaian dan memungut cukai. Konsep dan pendekatan ini akhirnya diterima pakai secara komersial. Sistem francais kemudiannya menjadi popular dan dianggap sebagai satu penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran, yang melangkaui keperluan pengguna dan sempadan negara.


McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun 1850-an. Ini diikuti oleh General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar francais di awal 1900-an.




Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonalds oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan francais. Hari ini, bagi setiap 3 jam yang berlalu, sebuah restoran McDonalds baharu, dibuka di serata dunia. Melalui operasinya yang telah mencecah 100 buah negara di seluruh dunia, McDonalds telah menghasilkan nilai jualan tahunan AS$30 bilion dengan pendapatan bersih melebihi AS$1.4 bilion. Pada masa yang sama juga, Kolonel Harlan Sanders mempelopori Kentucky Fried Chicken, KFC, diikuti oleh rangkaian restoran makanan segera yang lain seperti Burger King, A&W, Pizza Hut dan lain-lain.




Francais di Malaysia.

Umumnya, perniagaan francais di Malaysia telah bermula kira-kira 60 tahun yang lalu menerusi syarikat-syarikat seperti Singer, Bata, stesen-stesen minyak, pengedar-pengedar kenderaan dan industri perhotelan. Namun pertumbuhan pesat perniagaan ini lebih ketara apabila restoran-restoran makanan segera seperti KFC, A&W dan McDonalds mula bertapak di negara ini di sekitar tahun 70-an dan awal 80-an. Senario ini berterusan dengan pertumbuhan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang menggunakan pendekatan sistem francais, termasuk sektor berkaitan automotif (jualan kereta, pusat servis, perkhidmatan tayar, jualan alat ganti dan aksesori), kedai buku, fesyen dan pakaian, kedai runcit, salun dan kosmetik, agensi pelancongan dan penyewaan kereta, barangan kemas, percetakan, kedai gambar, optometri, farmasi, perkhidmatan kebersihan dan lain-lain.

Daripada sudut sejarah, penduduk negara ini juga telah mengamalkan konsep yang agak mirip sistem francais sejak sekian lama, iaitu sistem pawah. Sistem pawah ini selalunya digunakan di dalam pemberian hak mengusahakan tanah pertanian atau pun ternakan. Menerusi sistem ini, pemilik tanah pertanian mahu pun ternakan akan memberi hak kepada pengusaha untuk mengusahakan tanah pertanian atau memelihara binatang ternakan mereka. Sebagai ganti, kedua-dua pihak akan menikmati bahagian masing-masing hasil perkongsian ini, berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui bersama. Hubungan pawah ini selalunya tidak berasaskan apa-apa perjanjian bertulis, namun ianya boleh berlanjutan sehingga beberapa generasi.


PERANAN KERAJAAN DALAM MEMBANTU INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA.


Menurut Yang Berhormat Dato’ Sri Hasan Bin Malek, mantan menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) , budaya minum kopi yang semakin meluas dikalangan masyarakat negara ini perlu diteliti secara kritis. Usahawan perlu bijak mengambil peluang dalam mengembangkan idea perniagaan sediada. Lifestyle atau trend terkini yang menampakkan permintaan minuman kopi premium yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia seharusnya mampu merancakkan industri kopi premium negara. Bakal - bakal usahawan atau usahawan – usahawan bumiputera khususnya perlu melihat senario ini sebagai peluang yang baik untuk menceburi bidang perniagaan ini terutamanya Golongan Muda (Gen Y) yang perlu melihat Industri francais sebagai salah satu pilihan kerjaya mereka.

Sebagai contoh, rangkaian gourmet coffee kafe Gloria Jean’s Coffees dalam perancangan untuk membuka 15 lagi outlet baru termasuk di Brunei dan mensasarkan 50 outlet baru akan dibuka menjelang 2015. Syarikat tersebut merupakan satu-satunya jenama rangkaian gourmet coffee kafe yang menawarkan sistem francais di Malaysia yang mana ia boleh menggalakkan lebih ramai coffeepreneur menceburi bidang ini. Meskipun berhadapan dengan pertambahan bilangan rangkaian gourmet coffee kafe di pasaran Malaysia, syarikat tersebut masih dapat mempertahankan kedudukannya melalui keunikan seni pembuatan kopinya dengan kecekapan Barista yang terlatih. Ini kerana setiap cawan kopi yang dipesan akan disediakan khas mengikut pesanan pelanggan.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (2013), kadar pengangguran di Malaysia sehingga Ogos adalah tiga peratus, iaitu bersamaan dengan 411,400 orang. Lambakan siswazah yang masih tidak bekerja juga sangat membimbangkan. Justeru, menceburi bidang francais boleh dijadikan sebagai satu langkah alternatif. Lepasan siswazah yang masih mengganggur boleh menyertai kursus-kursus pre-franchisee dalam usaha mengenali apa itu francais secara dekat dan mengkaji potensi-potensi perniagaan francais yang menarik minat mereka.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) telah mewujudkanPerbadanan Nasional Berhad (PNS) yang berfungsi dalam mengenalpasti, mewujud dan membangunkan perusahaan kecil atau perniagaan runcit yang membawa jenama kontemporari serta mempunyai produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi dengan menggunakan pendekatan pemasaran moden, kos pembangunan yang rendah serta teknologi baru/ terkini. Selaku agensi yang bertanggungjwab menerajui industri francais kerajaan melalui agensi-agensi yang yang ditubuhkan sentiasa menyokong usahawan-usahawan yang mempunyai minat yang konsisten dan komitmen yang tinggi untuk menceburi sektor ini.

Perbadanan Nasional Berhad (PNS) melalui PNS Akademi sentiasa bergerak aktif di dalam membekalkan ilmu dan modul-modul perniagaan francais yang boleh dipelajari kepada bakal-bakal usahawan baru. Ini termasuklah program latihan kepada francaisi, francaisor, perunding francais dan masyarakat luar. Kemudahan ini bukan sahaja diberikan kepada individu bahkan juga kepada kumpulan koperasi yang berminat menjadi usahawan perniagaan francais. Kesan langsung daripada pemilikan perniagaan francais ini turut mencipta ruang untuk lebih banyak peluang pekerjaan dapat di tawarkan. Dianggarkan satu outlet perniagaan francais mampu menawarkan purata lima peluang perniagaan.

Menurut rekod kementerian di bawah Pembangunan Francais, setakat Februari 2014 seramai 694 franchaisor telah didaftarkan dengan 55 jenama tempatan telah di pasarkan ke 52 negara. Ini menunjukkan bahawa perniagaan francais telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Antara faktor yang menyumbang kepada kepada perkembangan industri ini adalah terletak pada sistem francais itu sendiri yang mana telah mewujudkan ekosistem francais yang berdaya tahan dan berdaya maju. Ekosistem yang terdiri dari PNS sebagai agensi pelaksana, usahawan francais sebagai penggiat industri, persatuan francais sebagai pemangkin dan pengguna sebagai kuasa beli menyebabkan industri francais menjadi lebih dinamik.

Selain menawarkan program latihan dan modul-modul perniagaan francais kepada bakal-bakal usahawan baru francaisi, PNS juga menawarkan skim pembiayaan kepada francaisi-francaisi bumiputera untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka. Melalui program IBRA, PNS menawarkan pakej Pembiayaan Berjangka Francais dan Lisensi yang mengenakan kadar keuntungan serendah 4.50% setahun serta menawarkan ganjaran rebat kepada para pelanggan PNS yang tidak mempunyai rekod tunggakan dan/atau kelewatan bayaran dalam tempoh 6 bulan berturut-turut.


CABARAN / HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAIS DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA


1. Modal yang diperlukan amat tinggi.

Kos untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan bantuan dari francaisor adalah tinggi dan francaisi perlu membayar kos-kos seperti Yuran Francais. Yuran francais adalah dalam satu jumlah yang besar dan tidak dikembalikan. Francaisi juga perlu membayar kos sewa, deposit, pembelian aset dan pengubahsuaian kedai.

Royalti Bulanan – Royalti dibayar mengikut peratus jualan bulanan. Francaisi perlu membayar royalti walaupun tidak memperolehi keuntungan, walaupun francaisor tidak membantu perniagaan francaisi kerana francaisi menggunakan jenama francaisor tersebut. Di Malaysia, terdapat isu berkenaan bayaran royalti ini di mana agensi kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) (badan bertindak untuk francais Malaysia) mengarahkan supaya pembayaran royalti tidak lebih dari 5% jumlah jualan bulanan francaisi.

Yuran Iklan – Yuran iklan yang dibayar digunakan oleh francaisor untuk mengiklankan jenama produk atau perkhidmatan dan untuk menarik lebih ramai francaisi. Tetapi ianya mungkin tidak mempromosikan perniagaan francaisi tersebut. Tambahan, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.

2. Tidak memberi kebebasan kepada francaisi.

Untuk menjaga kualiti, francaisor akan mengawal perniagaan francaisi. Kadang-kala, tindakan ini menghalang francaisi untuk bebas berniaga. Berikut adalah beberapa perkara berkaitan perjanjian francais:

Pemilihan Lokasi – Francaisor akan memilih lokasi yang difikirkan sesuai dengan perniagaannya dan lokasi tersebut mungkin tidak sesuai dari sudut pandangan francaisi. Di dalam banyak kes, francaisi akan mencadangkan lokasi kepada francaisor. Francaisor akan melawat lokasi tersebut dan memberi pendapatnya samaada sesuai atau tidak. Jika tidak, Francaisor akan membantu mencari kawasan yang difikirkan strategik.

Hiasan Dalaman & Konsep Perniagaan – Terdapat francaisor yang akan menukar hiasan dalaman dan konsep perniagaan mengikut musim. Jadi, kos renovasi dan pengubahsuaian tersebut mungkin tidak mampu untuk ditanggung oleh francaisi. Kebiasaanya, francaisor akan selalu menukar konsep perniagaan, uniform & sistem komputer.

Kawalan Penjualan Produk dan Perkhidmatan – Francaisor akan mengawal setiap produk dan perkhidmatan perniagaan francaisi. Jadi, francaisi tidak boleh menjual produk / perkhidmatan selain daripada francaisor. Ada juga kes dimana francaisor menghadkan bilangan stok yang dijual. Misalnya baju saiz S, francaisor hanya membekalkan 10 helai sahaja. Apabila baju tersebut habis, francaisi menempah dari francaisor tapi francaisor tidak memberi stok yang diminta. Apabila berlaku kes sedemikian, francaisi boleh cuba minta stok dari francaisi lain. Pastikan juga francaisor membenarkan anda mengambil stok dari francaisi lain. Kes seperti ini tidak dinyatakan dalam perjanjian francais. Jadi, francaisi perlu berhati-hati.

Kawalan Dalam Menggendalikan Operasi Perniagaan – Francaisor mengawal waktu operasi perniagaan, uniform pekerja, iklan serta promosi dan juga prosedur perniagaan. Harga jualan juga dikawal sehingga francaisi tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan. Pengedar juga perlulah dari pengedar yang diluluskan oleh francaisor, walaupun francaisi boleh mendapatkan barang dari pengedar yang lebih murah. Dicadangkan agar francaisi mencari francaisor yang memberi ruang untuk kemukakan idea francaisi sendiri dan memberi kebebasan untuk francaisi berniaga demi perniagaan mereka.

Kawalan ke atas Hak Wilayah (Territorial Rights) – Kawalan ini untuk menggelak daripada bersaing dengan francaisi lain. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghalang francaisi membuka cawangan lain atau berpindah ke lokasi lain. Francaisor juga ada hak untuk menghalang francaisi membuat website sendiri.

3. Pemilihan Francaisor perlu dilakukan dengan teliti.

Kelemahan dalam menguatkuasakan akta dan peraturan sedia ada menjadi duri dalam daging kepada pembangunan industri francais di Malaysia dan perlu dicungkil segera supaya tidak menjejaskan kemajuannya.Kelemahan-kelemahan yang ada telah memburukkan imej sistem francais sehingga dilihat sebagai sistem yang lemah dan banyak pihak yang berasa tertipu terutamanya usahawan baharu. Keadaan berkenaan timbul kerana ketiadaan dokumen zahir atau prospektus disediakan untuk membolehkan pemohon (bakal francaisi) mengetahui maklumat terperinci tentang francaisor dan produknya.Apa yang berlaku sekarang, perkara tersebut dipandang ringan serta ketiadaan garis panduan khas disediakan kerajaan menyebabkan penyediaan prospektus dilakukan secara sambil lewa dan bakal mengundang masalah.

Berdasarkan Akta Francais, prospektus perlu diserahkan 10 hari sebelum menandatangani dokumen dan tujuh hari waktu bekerja ditetapkan untuk masa menunggu sebelum proses disahkan.Sikap buruk usahawan atau bakal francaisi pula adalah tidak mahu membaca terma perjanjian terlebih dahulu dan pada masa yang sama pihak francaisor juga tidak memberikan penerangan secara terperinci tentangnya.Oleh itu, apabila timbul masalah, kedua-dua pihak akan saling menuding jari dan akhirnya yang dipersalahkan adalah sistem francais itu sendiri.

Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri.Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya.

4. Komitmen yang tinggi daripada francaisi.

Masalah-masalah itu berlaku akibat francaisi tidak mempunyai pengetahuan dan persediaan yang cukup melibatkan diri dalam perniagaan berkenaan.Kegagalan berlaku berpunca daripada sikap francaisi yang terlalu bergantung kepada francaisor sedangkan untuk berjaya dalam industri itu bukan mudah. Francaisi bukan sahaja sekadar mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi.Francaisi perlu memenuhi pengetahuan dari aspek kewangan, simpanan, komitmen, kemampuan dari mental dan fizikal, memiliki kepercayaan kepada produk serta sentiasa menjalankan penyelidikan.

5. Penjualan produk yang ditetapkan sahaja.

Penglibatan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan inovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.

6. Penamatan dan pembaharuan kontrak.

Kontrak francais akan tamat sekiranya francaisi melanggar perjanjian francais. Kontrak ini sah untuk tempoh masa yang telah dipersetujui iaitu tiada jaminan atas pembaharuan kontrak. Penamatan Kontrak – Francaisor boleh menamatkan kontrak sekiranya francaisi gagal membayar royalti, gagal menunjukkan prestasi yang menguntungkan dan lain-lain sebab yang munasabah. Segala pelaburan francaisiakan hilang apabila kontrak tamat. Di Malaysia, setiap perjanjian francais adalah untuk 5 tahun. Adalah dinasihatkan francaisi untuk memastikan pulangan modal francaisi tidak sampai 5 tahun.Maksudnya, dalam tempuh 5 tahun pastikan anda mendapat semula pelaburan anda.

Pembaharuan Kontrak – Pembaharuan kontrak tidak berlaku secara otomatik. Segala terma dan syarat mungkin akan berubah. Antaranya kenaikkan kadar bayaran royalti, membuat pengubahsuaian kedai, menggurangkan hak wilayah dan kawalan atas jualan. Semua pembaharuan ini berkemungkinan untuk memberi peluang kepada francaisi lain.





MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Transformasi yang dijalankan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sedikit sebanyak telah mempertingkatkan daya saing industri francais di negara ini. Antara inisiatif yang dijalankan oleh PNS adalah seperti pembinaan jenama francais tempatan, bengkel-bengkel, ekspo dalam dan luar negara serta pembangunan akademi. Inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan di samping meningkatkan saingan industri francais tatkala kita berhadapan dengan saingan global. Di samping itu, kerajaan telah menetapkan satu agensi khusus bagi membantu usahawan francais dari segi pembiayaan perniagaan. Dengan penubuhan PNS, ia merupakan satu bukti yang kukuh malah menunjukkan komitmen kerajaan terhadap industri francais. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional pada 10 Januari 2012. Pelan induk tersebut merupakan inisiatif dan strategi yang bertujuan untuk merancakkan lagi usaha kerajaan dalam memperkasakan francais nasional.

Seterusnya, kerajaan berharap untuk menjadikan Malaysia pusat francais bagi pasaran Asia Tenggara menjelang tahun 2020 .Industri francais sedikit sebanyak telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM24.6 bilion dan dijangka terus meningkat dengan kerjasama daripada kementerian, PNS dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Dengan pencapaian industri francais setakat ini, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Secara tidak langsung, ia dapat membangunkan modal insan malah mempertingkatkan perniagaan francais tempatan.Didapati juga masyarakat kini semakin celik mengenai perniagaan francais disebabkan program dan pendedahan yang dijalankan oleh kementerian.

Di samping itu, terdapat 523 jenama francais tempatan dan bilangannya semakin meningkat. Pihak kerajaan juga menerima banyak permohonan daripada syarikat-syarikat asing iaitu sebanyak 198 jenama.Sebanyak 68 peratus merupakan perniagaan yang berdaftar dengan pihak kementerian manakala bakinya iaitu 32 peratus merupakan jenama asing.

Penerimaan jenama francais Malaysia di luar negara juga semakin meningkat iaitu sebanyak 60 jenama francais tempatan di 55 negara. Jenama francais Malaysia dilihat mempunyai potensi besar dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan aliran wang serta eksport produk tempatan ke negara luar.industri francais di negara ini lebih belajar untuk berdikari dan berdiri sendiri serta kurang pergantungan terhadap kerajaan dalam mengawal aktiviti-aktiviti francais.

Kerajaan telah mengenal pasti faedah yang dibawa oleh francais, lalu memperkenalkan skim kredit serta insentif cukai bagi meningkatkan industri ini. Pembentukan Pelan Rangka Perkembangan Francais Negara merupakan salah satu inisiatif untuk mempertingkatkan industri ini dengan lebih jauh. Pelan yang meliputi tempoh selama 10 tahun sehingga tahun 2020 ini telah membentuk haluan industri ini agar ia sejajar dengan agenda ekonomi negara. Selain menjamin perkembangan industri francais pada kadar optimum, ia juga menyemai pakar-pakar modal insan bagi sektor francais. Pelan rangka ini juga mengandungi rancangan untuk mengubah perniagaan melalui francais, mempertingkatkan daya saingan francais di Malaysia serta menubuhkan eko-sistem francais yang dinamik.




KESIMPULAN


Industri Fancais Malaysia menunjukkan perkembangan positif kerana menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa apabila 59 produk tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di 53 buah negara. Kerajaan Malaysia memberikan fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia sejak di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengorak langkah memperkenalkan francais pada 1993.

Bagaimanapun kini rakyat Malaysia memahami mengenai perniagaan francais dan setiap tahun penyertaannya semakin meningkat. Setakat ini jumlah francaisor tempatan adalah 29 peratus melibatkan Bumiputera dan bakinya adalah bukan Bumiputera. Francaisinya pula kebanyakannya adalah Bumiputera. Produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman mudah memasuki negara luar kerana jenamanya dan Malaysia adalah sebuah negara Islam. Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diiktiraf dunia dan memberikan kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara. Kelebihan yang dimiliki Malaysia seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh usahawan francais untuk memasarkan jenama mereka ke pasaran dunia terutama di Timur Tengah dan negara majoriti penduduk Islam.Justeru,usahawan perlu berani keluar dari pasaran tempatan kerana pasaran dunia menawarkan potensi pertumbuhan jauh lebih baik apabila berjaya berada dalam pasaran antarabangsa.